| 0 comments ]

Bakal pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diminta menyelesaikan dahulu urusan permohonan mereka ke institusi pengajian tinggi (IPT) sebelum mendaftar ke kem PLKN pada 19 Mac ini.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata pelajar terbabit mempunyai tempoh seminggu untuk berbuat demikian selepas mendapat keputusan SPM pada hari Khamis (12 Mac 2009) ini.

"Kegagalan berbuat demikian akan menimbulkan masalah apabila mereka memulakan latihan, bagaimanapun, jika masalah permohonan masuk ke IPT tidak dapat diselesaikan selepas mendaftar di kem, mereka boleh mendapatkan bantuan daripada komandan kem," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup PLKN Kumpulan Satu Siri 06/2009 di Kem Hijrah, Penor dekat Kuantan, hari ini.

Kira-kira 43,000 pelatih PLKN Kumpulan Dua Siri 06/2009 dijadual mendaftar di 81 kem di seluruh negara pada 19 Mac ini.

Abdul Hadi berkata pelatih yang mendapat tawaran ke IPT ketika dalam latihan pula akan diberi pelepasan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata jika tawaran masuk ke IPT diterima selepas pelatih mengikuti latihan lebih daripada dua bulan, mereka akan dilepaskan dan dikira telah menamatkan latihan.

"Bagaimanapun, jika kurang dua bulan mengikuti latihan, mereka juga akan dilepaskan tetapi perlu menjalani semula latihan selepas tamat pengajian di IPT," katanya.

Abdul Hadi turut meminta ibu bapa supaya tidak sesuka hati memilih kem untuk anak mereka atas faktor berdekatan kediaman mereka, sebaliknya mematuhi arahan JLKN yang menetapkan penempatan anak mereka di sesebuah kem.

Beliau berkata tindakan memilih kem akan menimbulkan kesulitan kepada JLKN kerana bilangan pelatih untuk setiap kem telah ditetapkan, temasuk tempat tidur dan bilangan pakaian pelatih.

(Sumber: Bernama  - 10/03/2009 : 15:10PM)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment