| 2 comments ]

Jumlah calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008 yang lulus penuh (peringkat prinsipal) meningkat sebanyak 0.65 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan peningkatan peratusan penggunaan bahasa Inggeris ketika menjawab soalan sebanyak 0.8 peratus.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia Prof Datuk Dr Dzulkifli Abdul Razak berkata seramai 46,277 atau 92.26 peratus calon lulus penuh bagi sekurang-kurangnya satu mata pelajaran berbanding 56,963 atau 91.61 peratus pada 2007.

Katanya jumlah yang dinyatakan itu meliputi 53,638 calon yang menduduki peperiksaan STPM pada 12 Nov hingga 4 Dis lepas di 751 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.

"Daripada analisis keputusan peperiksaan STPM 2008, jurang antara prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara dengan calon bandar yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah 10.39 peratus berbanding calon luar bandar 6.77 peratus," katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman keputusan STPM 2008 di sini, hari ini.

Dalam analisis keputusan STPM 2008, calon bandar aliran sastera yang mendapat 5A, 4A, 3A adalah sebanyak 9.01 peratus berbanding calon luar bandar iaitu 6.15 peratus, namun terdapat sedikit peningkatan daripada calon luar bandar bagi aliran sains yang mendapat 5A, 4A, 3A iaitu sebanyak 14.81 peratus berbanding calon bandar yang hanya 12.99 peratus.

Dr Dzulkifli berkata peratusan pelajar yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya ketika menjawab soalan tahun lepas ialah 92.7 peratus berbanding hanya 91.9 peratus pada 2007.

Bagaimanapun, jumlah pelajar yang lulus gred A dalam lima dan empat mata pelajaran masing-masing masih mencatatkan penurunan dengan hanya 13 pelajar mendapat prinsipal A dalam lima mata pelajaran berbanding 25 pelajar pada 2007.

"Daripada jumlah itu, 10 orang adalah pelajar sains, manakala tiga lagi pelajar aliran sastera," katanya.

Daripada keseluruhan 53,638 calon STPM tahun lepas, 46,319 atau 86.35 peratus merupakan calon sekolah kerajaan, 2,189 (4.08 peratus) adalah calon swasta manakala 5,130 (9.56 peratus) calon persendirian individu.

Semua calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing bermula tengah hari ini kecuali calon persendirian yang akan menerima melalui pos, selain melayari laman web www.mpm.edu.my atau SMS di talian 39003.

Sementara itu di JOHOR, seramai 4,741 daripada 4,902 calon STPM 2008 di negeri ini lulus penuh peperiksaan itu, kata Pengarah Pelajaran Johor Sufa'at Tumin.

Namun, katanya keputusan peratus calon lulus penuh merosot 0.08 peratus iaitu 96.72 peratus berbanding 96.8 peratus, pada tahun 2007.

"Bilangan calon yang mencapai keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 kali ini juga merosot dengan hanya 34 orang berbanding 48 orang, pada tahun 2007," katanya

Sufa'at berkata Lim Chew Sia dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Dr Ismail, Muar merupaka seorang daripada pelajar cemerlang peringkat kebangsaan manakala Nor Hidayu Mohd Yusoff dari Maktab Sultan Abu Bakar Johor Baharu dianugerahkan pelajar cemerlang Johor bagi kategori calon istimewa.

Menurutnya sebanyak 31 buah sekolah mencapai 100 peratus lulus penuh kali ini berbanding 22 sekolah pada tahun 2007.

Di TERENGGANU, Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu Ariffin Embong berkata keputusan peperiksaan STPM 2008 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 1.66 peratus berbanding tahun lalu.

Katanya peratusan calon yang layak mendapat sijil STPM ialah 96.90 berbanding peratusan peringkat negara 94.79 peratus.

Seramai 2,838 calon daripada 21 buah sekolah telah menduduki peperiksaan STPM dan seramai 2,750 atau orang calon mendapat lulus penuh.

Di KEDAH, sebanyak 3,151 daripada 3,725 calon negeri Kedah yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lepas lulus sekurang-kurangnya satu subjek peringkat prinsipal iaitu peningkatan 2.06 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pengarah Jabatan Pelajaran Kedah, Shahidan Abdul Rahman berkata daripada jumlah itu, seramai 186 orang mendapat lima prinsipal, 1,375 (4P), 756 (3P), 481 (2P) dan 353 (1P).

Sebanyak 18 buah sekolah di Kedah mencapai kelulusan penuh 100 peratus manakala 15 calon mencatat keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) atau empat prinsipal A dalam semua mata pelajaran yang mereka ambil, katanya.

Sebanyak 3,725 calon menduduki STPM tahun lepas, 3,292 dari sekolah kerajaan, 155 calon sekolah swasta dan 277 calon persendirian.

Di SARAWAK, seramai 5,063 calon ataupun 91.75 peratus memperoleh sijil STPM tahun 2008.

Jabatan Pelajaran Sarawak dalam satu kenyataan akhbar hari ini menjelaskan daripada jumlah calon tersebut seramai 81 calon (1.14 paratus) lulus penuh dengan lima mata pelajaran (5P), 1,898 (4P), 1,204 (3P), 1,025 (2P) manakala 855 lulus dalam satu mata pelajaran.

Daripada segi individu seramai 24 calon Sekolah Menengah Kebangsaan berjaya mencapai purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00 (maksimum).

Di PERAK, seramai 4,311 dari 4,487 calon negeri ini lulus penuh dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), kata Pengarah Jabatan Pelajaran (JPN) Perak, Mohd Radzi Abd Jabar.

Mohd Radzi berkata hasil usaha dan kesungguhan calon serta bimbingan daripada guru-guru dalam menghadapi peperiksaan ini berjaya menunjukkan pencapaian sebanyak 96.07 peratus berbanding 95.37 peratus tahun lalu.

Pencapaian ini melebihi 1.28 peratus daripada pencapaian nasional iaitu 94.79 peratus, katanya.

(Sumber: Bernama - 10/03/2009: 17:57 PM)

Related Posts by Categories



2 comments

kamallatif said... @ 10:26 AM

Pak teh ! Saya terbaca dlm paper ari ni, salah seorang 13 pelajar STPM terbaik di malaysia ialah pelajar SMK Ambrose Ayer Tawar (nama no satu pula u !) biar betoi.. setau saya sekolah tu TEROK.. displin hampeih... macam mana pelajar STPM dpt 5A.. tolong SIASAT.. baguih sgt ke cikgu Form 6 nye.. mesti dah dpt DG48.. pengetua teruih DG54

Amir Sabrin Mohammad Ali said... @ 10:54 PM

kenapa perlu pertikaikan jika perkara itu benar??
kita tak perlu buruk sangka.kita sepatutnya bersangka baik.lagi st tak baik tuduh tanpa mmpunyai bukti yg kukuh.

Post a Comment