| 0 comments ]

Kerajaan Persekutuan memperuntukkan kuota khas sebanyak 10 peratus atau 200 biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam untuk pelajar Bumiputera Sabah dan Sarawak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sabah dan Sarawak bermula tahun ini.

Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pencapaian akademik pelajar Bumiputera di kedua-dua negeri itu yang masih ketinggalan berbanding pelajar lain di Semenanjung.

"Pada masa ini, banyak lagi sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai kemudahan yang lengkap dan keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan pencapaian akademik mereka.

"Sebab itu kerajaan Persekutuan memberi perhatian khusus kepada pelajar Bumiputera Sabah dan Sarawak, dengan memberikan masing-masing peruntukan 100 biasiswa, dalam usaha untuk membetulkan keadaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis anugerah cemerlang pelajar di SM Shan Tao, dekat Kota Kinabalu hari ini.

Dompok berkata di bawah skim biasiswa JPA yang baru, 20 peratus atau 400 daripada 2,000 biasiswa yang ditawarkan tahun ini adalah khusus untuk pelajar cemerlang manakala 60 peratus atau 1,200 biasiswa terbuka kepada pelajar lepasan SPM Bumiputera dan bukan Bumiputera di seluruh negara.

Beliau berkata tawaran 10 peratus biasiswa JPA turut dipanjangkan kepada pelajar kurang upaya (OKU) manakala selebihnya diperuntukkan untuk pelajar Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dompok berkata beliau menyokong agar penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran Matematik dan Sains diteruskan.

Dompok berkata kebanyakan bahan rujukan dan maklumat termasuk di internet untuk kedua-dua mata pelajaran itu adalah dalam bahasa Inggeris.

"Saya fikir penggunaan bahasa Inggeris dalam dua subjek itu tidak menjejaskan penguasaan kita dalam bahasa Malaysia malah membantu kita berkomunikasi dengan baik terutama apabila menganjurkan atau mengikuti program peringkat antarabangsa," katanya.

(Sumber: Bernama - 27/03/2009 - 17:16PM)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment