| 0 comments ]

Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memperluas sistem pendidikan berteraskan konsep Ulul Al-bab di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara.

Pengerusinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata langkah itu bertujuan bagi melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang dalam bidang pendidikan, malah mempunyai sahsiah diri yang tinggi untuk dunia dan akhirat.

Beliau berkata setakat ini sistem pendidikan berteraskan konsep itu sudah diperkenalkan di MRSM Kota Putra, Besut, Terengganu dan MRSM Gemenchih, Negeri Sembilan.

"Konsep pendidikan Ulu Al-Bab ini lebih merupakan sistem tambah nilai kepada sistem pendidikan yang sedia ada di MRSM di seluruh negara, bagi melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga memiliki sahsiah diri yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas di majlis kesyukuran MRSM Pasir Tumboh yang muncul sebagai MRSM terbaik di seluruh negara dalam peperiksaan Penilaian Menenegah Rendah (PMR) tahun lepas.

Idris berkata sebuah lagi MRSM seumpama itu akan diwujudkan di utara negara, bagaimanapun tempatnya masih belum diputuskan lagi.

Menurutnya setakat ini MARA mempunyai 42 MRSM di seluruh negara, tidak termasuk empat hingga lima buah yang masih dalam pembinaan.

"Kami akan menambah beberapa buah lagi MRSM, termasuk di Malaysia Timur bagi menampung keperluan pelajar yang kian meningkat setiap tahun," katanya.

Mengenai kejayaan pelajar MRSM dalam peperiksaan PMR tahun lepas, Idris berkata ia berkat daripada kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan semua pihak, termasuk tenaga pengajar, ibu bapa dan pelajar sendiri.

(Sumber: Bernama - 17/1/2010 - 17:04pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment