| 0 comments ]

e-Book Untuk Semua Murid Tahun Enam

Kerajaan negeri memutuskan untuk membekalkan 25,000 buku elektronik, e-Book kepada murid tahun enam di negeri ini tahun ini, empat bulan lebih awal daripada sepatutnya.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, berbanding tahun lalu, e-Book mula diberi kepada murid pada Jun dan selain peralatan itu, kira-kira 800 komputer riba juga akan disalurkan kepada guru-guru Tahun Enam mulai bulan depan.

Beliau memberitahu, 25,000 lagi e-book akan diserahkan kepada murid tahun empat yang dijangka dilaksanakan Jun ini, menjadikan kesemua 50,000 murid mendapat kemudahan itu tahun ini.

"Kita jangka kesemua murid ini mendapat e-Book selewat-lewatnya penghujung Jun ini dan murid tahun enam boleh duduki ujian penggal secara online," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Kuala Terengganu semalam.

Ahmad berkata, kemudahan e-Book itu disediakan bagi melengkapkan lagi persediaan murid serta pelajar menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan kemampuan mencapai keputusan cemerlang.

Selain itu jelasnya, dengan bantuan e-book para pelajar juga akan menjalani ujian secara latih tubi sebelum memilih 10 pelajar terbaik.

"Kita akan pilih 10 pelajar terbaik dan mereka akan diberi hadiah sebagai insentif daripada kerajaan negeri," tambah beliau.

Laptop Untuk Semua Guru Tahun Enam

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pemberian komputer percuma itu dibuat dalam usaha memantapkan proses pengajaran di kalangan 800 guru darjah enam menerusi program e-Book sebagai alat bantuan mengajar.

Katanya, pemberian alat bantuan mengajar itu diharap akan meningkatkan kecemerlangan murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

"Saya berharap kos sebanyak RM1.4 juta untuk pembelian komputer riba itu akan memberikan pulangan sewajarnya iaitu peningkatan pencapaian pada peperiksaan tahun ini," katanya kepada pemberita pada majlis Penghargaan Kecemerlangan UPSR Terengganu 2009 di Stadium Negeri di Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Ahmad lagi, syarikat Intel Corporation (Intel) bakal mengadakan tiga siri kursus bermula bulan ini untuk mempertingkatkan kecekapan guru-guru menggunakan komputer riba bagi diaplikasikan ke dalam sistem pengajaran dan pembelajaran.

Bermula pertengahan tahun ini kesemua murid tahun enam akan diwajibkan menduduki peperiksaan secara sistem dalam talian online setiap bulan.

"Bagi mengekalkan kecemerlangan pelajar-pelajar sehingga tiba hari peperiksaan sebenar UPSR, latih tubi setiap bulan melalui online akan dibuat dan setiap bulan kita akan memilih pelajar cemerlang untuk diberikan sagu hati.

"Selain itu, komputer riba guru-guru tersebut turut dilengkapkan dengan sistem pemantauan bagi mengelakkan pelajar-pelajar menyalahgunakan kemudahan sistem tersebut ketika sesi pembelajaran," jelasnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, kerajaan negeri bersedia menyediakan kemudahan dan infrastruktur bagi membina sekolah berasrama untuk memenuhi permintaan kemasukan ke sekolah terbabit.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Pusat diminta menyediakan peruntukan bagi penyediaan guru dan pembayaran gaji mereka.

"Kerajaan negeri boleh menyediakan kemudahan sekolah berasrama namun tidak mampu untuk membayar gaji para guru.

"Jika Pusat sanggup menyediakan guru, kita bersedia membina sekolah berasrama di negeri ini pada bila-bila masa," ujarnya.

(Sumber: Utusan - 7/1/2010)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment