| 0 comments ]

Kerajaan memutuskan persaraan pilihan anggota sektor awam akan diluluskan dengan syarat mereka bersetuju dibayar 20 peratus daripada ganjaran atau RM10,000 terlebih dahulu, mengikut mana yang lebih, ketika bersara.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam berkata bayaran selebihnya akan dibayar pada tarikh yang akan ditetapkan kerajaan, tetapi tidak melampaui tarikh anggota mencapai umur bersara wajib.

Katanya bagaimanapun wang tunai sebagai Gantian Cuti Rehat (GCR) dan pencen bulanan akan dibayar sepenuhnya mengikut peruntukan undang-undang pencen.

Dalam satu kenyataan Jumat, Ismail menjelaskan bahawa ganjaran yang dimaksudkan akan dibayar kepada pesara selepas semua hutang piutangnya kepada kerajaan telah dijelaskan.

"Sekiranya ganjarannya didapati tidak mencukupi untuk menampung hutang piutang, maka baki hutang piutang akan ditolak daripada GCR, jika ganjaran dan GCR tidak mencukupi untuk menampung hutang piutang, bakinya akan ditolak daripada pencen pesara sehingga selesai," katanya.

Ismail berkata kelonggaran boleh diberikan atas sebab anggota atau ahli keluarganya memerlukan rawatan perubatan (berdasarkan surat akuan bertulis oleh pegawai perubatan Kerajaan), anggota atau ahli keluarganya memerlukan perbelanjaan pendidikan (berdasarkan surat tawaran dan penerimaan pengajian) dan anggota yang memerlukan kewangan bagi mengelakkan diri daripada tindakan kebankrapan (berasaskan dokumen berkaitan tindakan undang-undang).

Sekiranya anggota bersetuju dengan syarat bersara itu, mereka hendaklah mengisi dan mengemukakan Surat Persetujuan/Permohonan Pengecualian Syarat Penangguhan Bayaran Sebahagian Ganjaran Berkaitan Persaraan Pilihan, katanya.

"Memandangkan kelulusan permohonan persaraan pilihan bagi pegawai perkhidmatan awam negeri dilakukan oleh Pihak Berkuasa Negeri, Surat Lampiran B bagi mereka hendaklah dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Negeri dengan satu salinan kepada JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) ketika permohonan faedah persaraannya dihantar, manakala permohonan pengecualian syarat penangguhan sekiranya ada hendaklah dicatatkan di atas surat yang sama untuk pertimbangan JPA," katanya.

Sekiranya pesara meninggal dunia sebelum menerima ganjaran sepenuhnya, baki ganjaran akan dibayar serta-merta kepada orang tanggungannya seperti ditafsirkan dalam Peraturan 15 (2),Peraturan-Peraturan Pencen 1980 atau Peraturan 13(2) Peraturan-Peraturan Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1990 iaitu balu atau duda; anak; balu atau duda dan anak; atau ibu kepada anggota yang mati atau sekiranya ibu mati, bapa tanggungannya.

Bagi anggota yang ingin supaya baki ganjaran tersebut dibayar kepada selain daripada orang yang dinyatakan, beliau hendaklah mengisi surat akuan seperti di Lampiran C (untuk pesara beragama Islam) atau lampiran D (untuk pesara bukan beragama Islam) dan surat itu hendaklah dikemukakan kepada JPA bersama dengan dokumen permohonan faedah persaraannya.

Ismail berkata syarat penangguhan bayaran sepenuhnya ganjaran berkaitan dengan persaraan pilihan itu hanya terpakai bagi kelulusan persaraan pilihan pada dan selepas 1 Feb tahun ini.

"Semua persaraan pilihan yang telah diluluskan sebelum 1 Feb 2010 walaupun tarikh kuat kuasa persaraannya adalah selepas tarikh itu akan dibayar ganjaran sepenuhnya," katanya.

(Sumber: Bernama - 29/1/2010 - 21:33pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment