| 0 comments ]

Waikato Institute of Technology New Zealand dengan kerjasama dengan sebuah syarikat tempatan, InterPacific.net.com melabur sebanyak RM100 juta menubuhkan sebuah kolej kejururawatan di negeri Terengganu.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata kolej bertaraf antarabangsa itu akan beroperasi di Taman Ilmu di Besut pada Jun depan dengan sasaran 3,000 pelajar dari dalam dan luar negara dalam satu-satu masa.

"Kerajaan negeri tidak akan terlibat secara langsung tetapi hanya akan menyediakan segala kemudahan diperlukan oleh syarikat berkenaan di Taman Ilmu, Besut dengan sewa bangunan sebanyak RM20,000 sebulan," katanya pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini pada Rabu.

Kolej kejururawatan itu akan ditempatkan di Bangunan Kolej Teknologi Bestari di Saujana, Setiu buat sementara sebelum semua kemudahan di Taman Ilmu siap.

Ahmad berkata Waikato Institute of Technology New Zealand akan menyediakan tenaga pengajar, pensyarah dan petugas berkemahiran dari luar negara bagi melatih pelajar dari Asia Tenggara terutamanya Thailand, Laos dan Kemboja dalam bidang kejururawatan.

"Kolej ini merupakan sebuah universiti kepunyaan kerajaan New Zealand yang mempunyai 26,000 pelajar pada masa kini dan beberapa orang pegawai daripada Waikato telah datang ke Terengganu untuk memberi penerangan bagi penubuhan kolej itu baru-baru ini," katanya.

Ahmad berkata kerajaan menerima kolej itu beroperasi di Taman Ilmu kerana taman itu mempunyai pelbagai kemudahan yang perlu digunakan sebaik mungkin.

"Taman Ilmu seluas 280 hektar yang serba lengkap seperti perpustakaan, masjid, asrama, dewan perlu digunakan sebaiknya untuk mengelakkan ia menjadi projek gajah putih," katanya.

(Sumber: Bernama - 27/1/2010 - 19:04pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment