| 0 comments ]

Empat sekolah yang ditutup ekoran wabak Influenza A(H1N1) tidak perlu menggantikan waktu persekolahan mereka sekiranya jumlah minimum 190 hari persekolahan telah dicapai.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata sekolah terbabit perlu menyemak jumlah hari persekolahan mereka dan perlu menggantikannya sekiranya tidak mencapai jumlah tersebut yang telah ditetapkan oleh kementerian.


"Bagi sekolah yang telah melebihi 190 hari persekolahan, (tiada masalah) jika masih berhasrat untuk menggantikannya. Maka terpulang kepada pihak pengurusan sekolah untuk berbuat demikian atau sebaliknya.

"Jadi dalam perkara ini (penutupan sekolah), tidak timbul pelajar yang dikuarantin tidak mempunyai peluang untuk belajar kerana pihak sekolah akan atur dan uruskan segalanya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Sehingga Rabu, empat sekolah iaitu Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka, Cheras, Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 1 dan SRK Assunta 2 di Petaling Jaya dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, Kuala Lumpur diarah ditutup selama seminggu berikutan penularan influenza di kalangan murid dan pelajarnya.

Mengenai langkah mewajibkan pelajar dan guru memakai topeng sebagai persediaan bagi mengelak penyakit itu daripada merebak, Wee berkata Kementerian Kesihatan masih mengkaji perkara tersebut dengan mendalam sama ada mewajibkan pemakaian topeng atau sebaliknya.

"Terpulang kepada Kementerian Kesihatan, jika mereka mewajibkannya maka pihak kita akan mematuhinya.

Bagaimanapun "jika ada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang mengambil inisiatif menyediakan topeng kepada pelajar, kita alu-alukan dan tidak akan menghalang mereka.

"Dasar Kementerian Pelajaran dalam perkara ini adalah terbuka dan telus, kita tidak akan ketepikan mana-mana pendapat baik demi keselamatan para pelajar dan guru," katanya.

(Sumber: Bernama - 24/06/2009 - 16:08pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment