| 0 comments ]

Satelit remote sensing kedua negara RazakSAT yang sepatutnya dilancarkan 21 April lalu namun ditangguhkan atas sebab teknikal, kini bakal dilancarkan 14 Julai ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili berkata tarikh baru itu diberikan oleh Space Exploration Technology yang bertanggungjawab melancarkan satelit itu, setelah mereka memperbaiki masalah teknikal yang timbul iaitu gegaran berlebihan pada pelancar roket.

RazakSAT akan dilancarkan di Kwajalein Atoll, Republik Kepulauan Marshall yang akan turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, katanya.

Dr Maximus berkata satelit yang akan mengelilingi orbit garisan Khatulistiwa itu bukan sahaja akan memberi kemudahan kepada negara dalam bidang meteorologi dan remote sensing, malah memberi ruang untuk menjana pendapatan kepada negara di mana negara lain akan dibenarkan turut menggunakannya dengan dikenakan bayaran.

Setakat ini beberapa negara telah menunjukkan minat untuk menggunakan servis tersebut termasuk Indonesia dan beberapa negara Afrika, katanya.

Dalam isu lain, Dr Maximus berkata mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju untuk menjadikan tahun 2010 sebagai Tahun Kreativiti dan Inovasi, yang akan melibatkan pelaksanaan program bagi memupuk idea kreatif dan inovatif di kalangan rakyat negara ini tanpa mengira umur, kaum dan kedudukan geografi.

Beliau berkata program yang dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri dalam tempoh terdekat itu bakal melibatkan lapan buah kementerian yang akan berbincang untuk memilih pengisian program yang sesuai.

Beliau berkata sempena program itu juga, sebuah portal iaitu "myideas" akan turut dilancarkan Rabu depan oleh Perdana Menteri bagi memberi saluran kepada orang ramai dalam menyampaikan idea masing-masing untuk pembangunan negara dengan tema "1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan".

"Kita juga sedang membida untuk menganjurkan Forum Ekonomi Dunia di Kuala Lumpur yang akan memfokus kepada aspek inovasi," katanya.

(Sumber: Bernama - 17/06/2009 - 19:34pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment