| 0 comments ]

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini mencadangkan skim pembantu guru diperluaskan di sekolah harian dan berasrama penuh bagi membantu golongan guru yang kini turut dibebani tugas perkeranian.

Sambil meminta kerajaan mempertimbangan cadangan itu demi melahirkan pelajar yang hebat, Presiden NUTP Hashim Adnan berkata ia antara lain akan membolehkan para guru memberikan tumpuan penuh terhadap proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

"Tugas perkeranian ini kadang-kadang mengambil masa yang lama yang perlu dibuat oleh cikgu itu sendiri, contohnya mengira stok barangan di stor.

"Ini semua satu penambahan kerja yang tak sepatutnya dilakukan oleh guru kelas. Guru ini satu sahaja dalam hati dia, dia mahu semua anak murid dia lulus. Mana-mana guru pun tak mahu anak murid dia gagal.

"Tetapi atas sebab tugas perkeranian dia banyak sangat, bila dia letih dan penat, dia dah tak mampu nak mengajar dan dipenghujungnya anak murid juga yang rugi," katanya kepada pemberita selepas seminar NUTP di Kuala Lumpur hari ini.

Hashim berkata pembantu guru, yang terletak dibawah skim yang sama dengan pembantu tadbir perkeranian dan operasi gred N17 dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kini hanya ditempatkan di prasekolah dan sekolah pemulihan bagi membantu guru.

"Setakat ini di sekolah harian dan berasrama masih belum ada lagi pembantu guru dan dengan anggaran 5.5 juta pelajar, kita memerlukan kira-kira 11,000 orang pembantu guru untuk 10,000 buah sekolah di seluruh negara," katanya.

Hashim berkata pembantu guru itu juga boleh diberikan peranan untuk menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar sekiranya terdapat sesuatu aktiviti diluar sekolah.

"Sebagai contoh, sekiranya sesebuah sekolah itu memasuki pertandingan bola sepak di peringkat daerah, pembantu guru inilah yang diberi tanggungjawab membawa pelajar ke stadium dan menjaga keselamatan dan barangan mereka. Jadi guru akan kurang sedikit bebannya," katanya.

Mengulas cadangan mensyaratkan pelajar wajib lulus Bahasa Inggeris sebagai syarat layak memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Hashim berkata ia perlu ditangguhkan sungguhpun ia masih diperingkat cadangan, sehingga negara mempunyai guru berkemahiran dan berkelayakan yang mencukupi untuk mengajar subjek itu.

"Perlu diingat, kita tidak mahu guru yang hanya pergi kursus selama dua minggu kemudian diminta mengajar bahasa Inggeris. Ini tidak boleh. Kalau mahu, letakkan guru yang sememangnya mahir, fasih dan berkelayakan untuk mengajar dalam bahasa Inggeris," katanya.

"Selain itu, sebelum dilaksanakan cadangan itu, kita perlu pastikan kita mempunyai cukup guru untuk mengajar. Kalau di bandar kita tidak khuatir tetapi di pedalaman, bagaimana. Kita tak boleh membiarkan pelajar di luar bandar terus ketinggalan ekoran ketiadaan guru yang benar-benar menguasai bahasa Inggeris untuk mengajar mereka," katanya.

(Sumber: Bernama - 20/06/2009 - 15:05pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment