| 0 comments ]

Kolej Islam dan Teknologi (KIST) mencipta sejarah tersendiri daripada bidang pendidikan perubatan kepada bidang latihan penerbangan, melalui penubuhan KIST Aviation Academy Sdn Bhd (KISTAA) dengan pelaburan RM20 juta.

Presiden KIST, Muhammad Zamly Abdullah berkata Kist kini mengorak satu lagi langkah ke hadapan dalam bidang pendidikan dengan menawarkan kursus penerbangan Lesen Juruterbang Komersial dengan Rating Instrumen (CPL/IR) serta Lesen Pengangkutan Penerbangan.

Peruntukan RM20 juta itu untuk membangunkan akademi ini termasuk kos untuk menyediakan tapak dan pembelian dua pesawat penerbangan, iaitu pesawat TECNAM model P2002 JF jenis satu enjin dan P2006T jenis enjin dua dari Itali.

Kursus dan pengambilan mulai September ini termasuk program latihan penerbangan komersial bertaraf antarabangsa yang akan beroperasi di kampus baru KIST di Kuala Terengganu, katanya kepada pemberita selepas majlis bersama media, malam tadi.

Beliau berkata KISTAA diluluskan oleh Kementerian Pengangkutan pada 17 April lepas bagi mengendalikan kursus ini dan kelulusan tersebut dikeluarkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada 21 April lepas.

Zamly berkata seramai 20 pelajar akan diambil pada pengambilan pertama untuk mengikuti kursus selama 16 bulan dengan latihan penerbangan sekurang-kurangnya 200 jam termasuk 30 jam latihan simulator.

"Ilmu dan kursus yang akan diberikan sepanjang latihan adalah keperluan utama untuk melahirkan juruterbang yang profesional, berkebolehan dan berkualiti," katanya.

Dalam tempoh lima tahun sejak KIST ditubuhkan, kolej itu merupakan salah sebuah pusat pengajian tinggi swasta di Kelantan milik penuh Bumiputera yang beroperasi di Kuala Berang, Terengganu pada Januari lepas.

(Sumber: Bernama - 25/06/2009 - 11:59am)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment