Semalam, PakTeh masih menunggu maklumat terakhir sebelum memutuskan mana sekolah untuk Zaim masuk. Dah dapatkan maklumat dari murid2 kedua-dua sekolah, serta pengurus sekolah berkenaan. Masing2 ada kekuatan tersendiri, berdasarkan maklumat yang PakTeh kumpulkan:
SMRDNS : Di bawah kawalan Jabatan Agama Islam, Kerajaan Negeri Perak. Belajar tambahan 9 subjek agama semasa Ting. 1 & 2. Ada exam I'dadi - yg setaraf dgn peperiksaan akhir kurikulum menengah rendah di Mesir. Jika ambil aliran agama sepenuhnya utk SPM, mudah ke universiti2 di Timur Tengah, Al-Azhar khususnya. Namun begitu, aliran sains SPM tetap ditawarkan. Sekolah baru, infrastruktur baik, persekitaran selesa. Program pembangunan murid berasaskan nilai Islam, dikatakan amat baik. Murid masuk berdasarkan Ujian Kelayakan bukan UPSR. Jadi ada murid yang UPSRnya 2A atau 3A dapat masuk. Pencapaian peperiksaan turun-naik, ikut kelompok murid. Hanya 10% sahaja tenaga pengajar dibekalkan oleh KPM. Yang lainnya ialah guru2 GSTT dan kontrak Jabatan Agama Islam. Maklumat terakhir: 15 orang guru baru akan masuk awal Januari. Daftar masuk: 9/1/08.
SMKA RAS: Di bawah kawalan Sektor Pend. Islam & Moral, Jabatan Pelajaran Perak. Pelajaran sama, tetapi tiada tambahan kurikulum I'dadi. Pencapaian peperiksaan maintain baik. Guru cukup. Sekolah lebih lama, keceriaan kalah dengan SMRDNS. Kemasukan murid berdasarkan UPSR. Tahun ini, kesemuanya 5A terutama yang tak dapat SBP. Lebih dekat dgn rumah. Daftar masuk: 2/1/08.
Keputusan terakhir: PakTeh berpandangan bahawa, seseorang itu boleh belajar di mana2 sahaja. Sekolah biasa di kampung atau berasrama penuh, masing2 tetap memberi ruang untuk belajar. Seseorang murid tetap boleh membina dan mengembang potensi dirinya dalam pelbagai bidang. Persekitaran banyak membantu perkembangan itu, termasuk guru2, rakan2 dan persekitaran yang kondusif untuk belajar. Namun begitu, proses mendapatkan ilmu pengetahuan tidak semata2 hanya atas usaha murid. Dari aspek kurikulum, mereka perlu mengikuti proses pengajaran & pembelajaran di dalam kelas sebagai asas. Tanpa tenaga pengajar yang memberi ilmu, murid akan leka tanpa belajar, membuat kerja sendiri tanpa bimbingan terancang. Memang murid boleh membaca dan mengulangkaji sendiri, tetapi dia perlukan kefahaman asas oleh guru di kelas. Tanpa guru, masa pembelajaran murid akan terabai, secara tidak langsung. Tahap remaja murid khasnya di asrama, perlu dibimbing sepenuhnya oleh guru. Persekitaran & sosialisasi mereka menjadikan mudah mengikut pengaruh rakan sebaya, yang bukan semuanya 'baik-baik belaka'. Tidaklah mudah murid2 mengetahui apa yg mereka buat itu betul atau tidak, melainkan ada bimbingan, teguran dan tunjukajar yang berterusan oleh guru. Kan, guru2 adalah pemegang amanah oleh ibu bapa.
Jadi, Zaim ke SMKA Raja Azlan Shah. Dia akhirnya terima dengan ikhlas. Faktor2 mempengaruhi keputusan telah dimaklumkan. PakTeh pergi Bank Islam, petang semalam untuk bayar semua yuran2 'online'. Akan mendaftar, Rabu ini, 9.00 am. Bagitau pada Zaim, jika SMRDNS cukup guru seperti SMKA RAS, PakTeh tentu masukkan dia ke SMRDNS seperti yang dia mahu. Dia nampak faham, Alhamdulillah. Agaknya memang rahmat Allah memberikannya sekolah yang dekat dengan rumah. Sebelum ni, 2 orang rakan lelaki sekolah rendahnya dapat SBP aliran agama di SMA Kajang. Jauhnya. Sekurang2nya kalau di Bota, bolehlah PakTeh menjenguknya setiap minggu, Insya Alah.
Cuma yang PakTeh harap, pihak Jabatan Agama Islam Negeri Perak boleh memastikan kecukupan sumber tenaga pengajar profesional dalam sekolah kawalannya sentiasa diberi perhatian serius. Amalan memasukkan guru baru di awal tahun tidak berkesan, bagi PakTeh. Bukan semua guru itu nanti masuk, ada yang tangguh dan ada yang 'tak datang2'. Apa nak jadi dengan murid di kelas sepanjang ketiadaan guru berkenaan. Masalah ketiadaan guru 'X', 'Y' dan 'Z' ini bukan makan masa sehari dua hari, malah boleh berbulan2. Isu ini juga berlaku dalam sistem penempatan guru di sekolah kawalan Kementerian Pelajaran sendiri. Apalah salahnya guru2 baru dimasukkan sebelum cuti sekolah lagi. Masalah kena tanggung bayar gaji buta tak timbul, sebab semua guru boleh dipanggil ke sekolah atas urusan rasmi tidak lebih separuh cuti. Pengurus sekolah tentu boleh mengatur program yang sesuai untuk staf2nya, di waktu cuti - menjurus perancangan sekolah untuk sesi akan datang.
Akhir kata PakTeh amat cintakan dunia pendidikan. PakTeh menghargai semua ilmu yg diterima. Dari gurulah, PakTeh tahu tulis-baca. Selain ibu bapa, dari gurulah, PakTeh kenal dunia. Tanpa guru, siapalah kita.
0 comments
Post a Comment