| 0 comments ]

PUTRAJAYA, 12 Dis (Bernama: 17:08PM) -- Bermula tahun depan, kakitangan awam boleh mengumpulkan cuti Gantian Cuti Rehat (GCR) atau 'golden handshake' sehingga 150 hari, pertambahan sebanyak 30 hari berbanding 120 hari sekarang.

Presiden Cuepacs Omar Osman berkata Pekeliling mengenai perkara itu akan dikeluarkan tidak lama lagi. Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)Tan Sri Ismail Adam pada perjumpaan antara Cuepacs dan Ismail di sini hari ini.

"Kami anggap ia satu keputusan yang baik walaupun dalam masa yang sama kerajaan menetapkan mulai Januari 2009, kelayakan cuti tahunan bagi kakitangan awam baru akan dikurangkan lima hari," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan itu.

GCR merupakan cuti tahunan yang dikumpulkan bagi digantikan dengan wang apabila seseorang kakitangan awam itu bersara dan ketika ini kakitangan awam boleh mengumpulkan maksimum 15 hari cuti tahunan mereka dalam setahun untuk dimasukkan dalam skim itu.

Mengenai keputusan kerajaan untuk mengurangkan cuti tahunan bagi kakitangan awam yang baru daripada 30 hari kepada 25 hari mulai tahun depan, Omar berkata selepas perjumpaan dengan Ismail hari ini, Cuepacs menerima rasional langkah itu sebagai cara bagi meningkatkan produktiviti sektor awam, sejajar dengan peranan sektor awam sebagai nadi utama pembangunan negara.

Tambahan pula, katanya, terdapat banyak cuti umum sama ada di peringkat kebangsaan atau negeri yang dinikmati sepanjang tahun. 

Omar berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli gabungan bagi menjelaskan perkara itu dalam masa terdekat. Semalam, Cuepacs melalui setiausaha agungnya Ahmad Shah Mohd Zin dilaporkan menganggap tindakan kerajaan mengurangkan cuti tahunan itu sebagai 'tidak adil' dan akan merugikan kakitangan awam baru dalam jangka masa panjang.

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment