Usaha mengesan terowong bawah tanah misteri sepanjang 2 kilometer di Ipoh akan dimulakan Januari depan dengan kerjasama dua bekas pekerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang mendakwa pernah memasukinya, sekitar tahun 60-an.
Menurut Datuk Bandar Ipoh, Mohd Roshidi Hashim, dipercayai terowong berkenaan dibina semasa zaman penjajahan British dan dakwaan tersebut dipercayai berasas memandangkan keempat-empat bangunan ini dalam rekabentuk yang seakan-akan sama. Terowong berkenaan dipercayai menghubungkan empat bangunan warisan iaitu Bangunan Stesen Keretapi, Dewan Bandaran Ipoh, Balai Polis Ipoh dan bangunan Mahkamah Tinggi Ipoh yang terletak berhampiran.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Terowong, M. Kulasegaran berkata wakil dari Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan akan turut menyertai usaha tersebut. Dua pekerja yang pernah bertugas di bangunan Dewan Bandaran Ipoh ,yang sebelum ini merupakan pejabat Ketua Polis Perak, akan diminta membantu mengesan laluan masuk ke terowong berkenaan yang dipercayai dibina sekitar tahun 1940-an.
Kulasegaran yang juga Anggota Parlimen Ipoh Barat berkata jawatankuasa itu, yang ditubuhkan oleh MBI, telah berusaha mengesan rekod sejarah berhubung perkara berkenaan sebelum ini tetapi menemui jalan buntu. Beliau yakin dengan pertemuan dua orang warga emas berkenaan, misteri ini bakal terbongkar. Penemuannya kelak akan menjadi satu produk pelancongan di negara ini sama seperti terowong yang ditemui di Vietnam dan Singapura.
Dipercayai bahawa terowong itu digunakan oleh pihak berkuasa ketika itu untuk menghubungkan bangunan berkenaan ke Mahkamah dan Stesen Kereta Api untuk membawa penjenayah berbahaya seperti pengganas komunis. Terowong tersebut itu dipercayai digunakan oleh anggota polis untuk membawa pesalah ke mahkamah bagi menjalani prosedur menjatuhi hukuman kepada mereka.
Salah seorang bekas pekerja itu, S. Arumugam, 73, yang turut menyertai lawatan itu berkata beliau pernah memasuki terowong bawah tanah itu sekitar tahun 1960 semasa masih bekerja dengan MBI. Beliau mendakwa pintu masuk ke terowong itu mempunyai tangga dan terletak di bahagian hadapan bangunan dewan berkenaan.
Katanya, terowong itu mampu memuatkan tiga orang dalam satu masa dan kelihatan seakan-akan longkang besar dengan ketinggian antara 1.5 hingga 1.8 meter. Laluan di sepanjang terowong terbabit mempunyai lampu di bahagian kiri dan kanan untuk memberi pencahayaan sempurna supaya mereka yang melaluinya dapat melihat dengan lebih jelas. (Bernama)
Kita tunggu hasil eksplorasi mereka kelak. Stay tuned.
0 comments
Post a Comment