| 0 comments ]

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sedang memberi tumpuan bagi menyediakan 500 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di kawasan luar bandar di seluruh negara.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kesemua Tabika itu yang dilengkapi pelbagai kemudahan melibatkan kos kira-kira RM400 juta akan disiapkan sebelum akhir tahun depan.

"Kita beri tumpuan di peringkat luar bandar kerana di kawasan bandar sudah pun mempunyai prasarana yang agak mencukupi, di pekan dan bandar ini terdapat kelas pra sekolah anjuran swasta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Hari Potensi Tabika Kemas peringkat kebangsaan di Dataran Sejarah di sini, malam tadi.

Shafie berkata setakat ini, terdapat 8,316 Tabika di seluruh negara dengan menyumbang perkhidmatan kepada lebih 26 peratus daripada kira-kira 800,000 jumlah kemasukan kanak-kanak peringkat pra sekolah.

Beliau berkata kerajaan berusaha menambah Tabika supaya kanak-kanak terutama di kawasan luar bandar tidak tercicir daripada mendapat didikan sejak awal usia mereka.

Pihak kementerian juga menggalakkan guru Tabika terus meningkatkan pendidikan dan kemahiran termasuk penggunaan teknologi maklumat dalam mendidik kanak-kanak pra sekolah berkenaan, katanya.

Beliau juga meminta ibu bapa memainkan peranan mendorong anak-anak mencapai kecemerlangan dalam pendidikan dengan meluangkan masa bersama anak-anak.

Katanya Kemas begitu komited terhadap pendidikan awal kanak-kanak kerana tempoh itu merupakan tahap perkembangan anak-anak yang perlu diberi perhatian sebagai bakal pewaris negara.

Kira-kira 1,000 kanak-kanak pra sekolah dari Tabika seluruh negara berhimpun selama dua hari bermula Jumaat lepas untuk mengambil bahagian dalam beberapa acara sukan seperti futsal, silat dan bola jaring.

(Sumber: Bernama - 7/6/2009 - 11:46am)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment