| 0 comments ]

Kementerian Pengajian Tinggi akan menubuhkan sebuah Unit Keusahawanan tidak lama lagi, khusus bagi membolehkan para graduan diberikan bimbingan yang sewajarnya sebelum menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan.

Timbalan menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata unit itu akan bertanggungjawab membimbing, melatih serta menggalakkan para graduan supaya terlibat dalam bidang berkenaan.

"Ia secara tidak langsung bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan graduan kerana kerajaan memang menyediakan banyak peluang perniagaan di dalam negara," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Forum Industri Kecil Sederhana (IKS) anjuran Biro Ekonomi Pergerakan Pemuda Parti Gerakan Pusat di Mentakab, hari ini.

Beliau berkata ketika ini hanya 2.5 peratus sahaja graduan dalam negara yang dilihat menceburi bidang keusahawanan berbanding negara Amerika Syarikat yang menjangkau 15 peratus dan Eropah 10 peratus.

Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Temerloh berkata unit itu juga akan menjalankan perbincangan dengan institusi-institusi kewangan seperti Mara, bank SME, Tekun Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad dan institusi kewangan yang lain bagi memudahkan pinjaman diberikan kepada graduan untuk memulakan perniagaan mereka.

(Sumber: Bernama - 20/06/2009 - 6:45pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment