| 0 comments ]

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Datuk Dr Aminah Ayob hari ini melahirkan kebimbangan mengenai kekurangan bakal guru di kalangan bukan Melayu dan lelaki di universiti itu.

Katanya daripada 4,800 pelajar di universiti itu, hanya 20 peratus daripada mereka terdiri daripada pelajar bukan Melayu dan 23 peratus pelajar lelaki.

"Kami sendiri gagal mengenal pasti kenapa perkara ini berlaku. Tetapi mungkin disebabkan perbezaan kecenderungan dan minat antara kaum itu sendiri.

"Malah di universiti kami, pelajar-pelajar bukan Melayu kebanyakannya mengambil program tertentu seperti perniagaan dan ekonomi serta sains dan teknologi," katanya ketika mempengerusikan Majlis Dialog UPSI Bersama Media, di sini, hari ini.

Kekurangan bakal guru lelaki juga menjadi tanda tanya kerana UPSI yang dahulunya dikenali sebagai Maktab Perguruan Sultan Idris hanya mengambil pelajar lelaki, dan akhirnya menerima permohonan pelajar perempuan pada tahun 1976.

Selain itu, Dr Aminah juga menyatakan kebimbangan mengenai kekurangan bakal guru untuk mata pelajaran bahasa Mandarin.

"Kita memerlukan lebih calon untuk memohon program ini. Ia tidak hanya terbuka kepada pemohon dari kaum itu sendiri, tetapi termasuk kepada mereka yang mempunyai kelayakan dalam bahasa tersebut.

"Mungkin kita boleh berdialog dengan badan-badan bukan kerajaan atau aktivis bahasa Mandarin bagi memahami dan menyelesaikan masalah ini," katanya.

UPSI yang menyediakan tenaga pengajar untuk sekolah-sekolah menengah seluruh negara baru sahaja menawarkan program pendidikan bahasa Mandarin dan setakat ini masih gagal memenuhi unjuran keperluan guru bahasa itu seperti yang diminta oleh Kementerian Pelajaran.

(Sumber: Bernama - 10/06/2009 - 18:23pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment