| 0 comments ]

Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan menyemak semula modul teras latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sedia ada, kata Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Beliau berkata di mana perlu modul sedia ada akan diubah, ditambah dan sebagainya untuk memberi penambahbaikan serta keberkesanan program PLKN.

"Kita akan membuat cadangan kepada kerajaan mengenainya. Sebenarnya perkara ini telah diputuskan oleh Jawatankuasa Kabinet semasa penubuhan PLKN pada 2003 bahawa selepas lima tahun, modul teras latihan perlu disemak semula," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Katanya setakat ini belum ada kajian semula yang dibuat.

"Namun begitu, kita banyak menerima surat pujian dan mendapat maklum balas positif. Berdasarkan kajian yang kita buat sendiri, semasa tiga bulan latihan PLKN yang melibatkan empat modul teras latihan iaitu dari segi fizikal, kenegaraan, jati diri dan khidmat komuniti, kita dapati setiap peserta mencapai keputusan lebih 85 peratus," katanya.

Abdul Hadi berkata arahan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar modul teras latihan PLKN sedia ada disemak semula, adalah bertepatan dan perlu dibuat kajian oleh badan bebas agar ianya lebih adil.

Sementara itu, katanya seramai 147,049 peserta akan mengikuti PLKN untuk Siri 7 yang akan bermula pada Januari 2010.

Katanya mereka terdiri daripada 120,000 peserta pilihan, 24,349 dipanggil semula setelah diberi penangguhan dan 2,700 peserta yang sebelum ini engkar menyertai PLKN.

Sehubungan itu, beliau meminta remaja yang lahir pada tahun 1992 untuk menyemak tawaran kepada mereka melalui SMS tidak lewat daripada 1 Ogos depan.

Dalam perkembangan lain, beliau mengarahkan semua komandan PLKN menggalakkan lebih 4,000 pegawai awam dan jurulatih di semua kem PLKN untuk menyertai pasukan sukarelawan Angkatan Tentera Malaysia.

(Sumber: Bernama - 27/06/2009 - 13:18pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment