| 0 comments ]

Kira-kira 58,000 pelajar sekolah menengah di seluruh negara dijangka tidak dapat belajar dengan selesa tahun depan berikutan kegagalan pemaju yang diberi kontrak membina bangunan-bangunan sekolah berkenaan menyiapkannya mengikut jadual.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata daripada 128 buah sekolah menengah yang sedang dalam pembinaan di seluruh negara ketika ini, 58 didapati tidak dapat disiapkan mengikut tempoh yang dipersetujui oleh pemaju dan kerajaan sebelum ini.

"Kalau dikira 1,000 bagi setiap sekolah bermakna dengan 58 buah sekolah itu dianggarkan 58,000 orang pelajar tidak dapat mengikuti pengajian dengan selesa tahun depan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Permuafakatan Pendidikan PPD Kuala Krai di Kuala Krai, hari ini.

Kira-kira 200 orang guru, guru besar dan pengetua hadir pada majlis itu yang merupakan perjumpaan sulung beliau sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dengan warga pendidik.

Puad seterusnya mendedahkan bagaimana sebuah syarikat pembinaan yang mendapat kontrak membabitkan 26 sekolah yang bernilai kira-kira RM300 juta, tidak dapat menyiapkan projek mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

"Kami tidak akan berkompromi lagi, kami sudah beri masa yang cukup, kenapa sambung lagi kontrak mereka. Kami ada bukti cukup, yang kontraktor itu gagal menyiapkan dalam masa yang dijanjikan dengan memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah," katanya dan berjanji akan menamatkan kontrak syarikat-syarikat berkenaan tidak lama lagi.

(Sumber: Bernama - 2/6/2009 - 20:53pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment