| 0 comments ]

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan menerima kumpulan pertama 40 penuntut Fakulti Perubatan Ketenteraan pada tahun depan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Beliau berkata pengenalan fakulti baru itu sejajar dengan hasrat UPNM menjadi sebuah universiti yang berteraskan kecemerlangan bukan sahaja dalam aspek akademik tetapi mencakupi sahsiah, kepimpinan dan pembangunan kendiri.

"Kita memiliki aset seperti hospital tentera serta pusat pemeriksaan kesihatan sendiri dan kita telah kenalpasti beberapa hospital tentera yang akan dijadikan pusat latihan amali bagi pelajar tersebut," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke UPNM di Kem Sungai Besi di sini hari ini.

Yang turut mengiringi beliau ialah timbalannya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Naib Canselor UPNM, Datuk Zulkifli Zainal Abidin.

Ahmad Zahid berkata, UPNM juga akan melaksanakan beberapa perubahan dasar yang melibatkan pengambilan penuntut serta komposisi pelajar awam dan tentera bagi memastikan universiti tersebut dapat melahirkan penuntut cemerlang untuk memenuhi keperluan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ketenteraan dan pasaran luar.

"Perubahan dasar itu sedang diteliti, jika perlu mungkin kita akan ubah. Setakat ini, hanya 20 peratus daripada kemasukan ke UPNM melalui Unit Pusat Universiti (UPU) adalah daripada orang awam yang tidak mempunyai asas ketenteraan langsung.

"Kita tengok dulu macam mana. Apabila membabitkan dasar ini kena rujuk dulu dengan Perdana Menteri. Jika perubahan dasar ini dipersetujui, kita akan buka UPNM ini kepada pelajar luar negara juga," kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata penambahbaikkan infrastruktur di kampus utama seluas 160 hektar akan dilaksanakan segera bagi memastikan semua bangunan yang belum siap dapat disiapkan sebelum Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) berakhir.

Sehingga kini katanya terdapat 1,857 penuntut dan 20 peratus daripadanya adalah pelajar bukan kadet tentera dan UPNM mensasarkan pengambilan semaksimum 5,000 penuntut yang terdiri 2,500 pegawai kadet, 500 pelajar awam dan 2,000 penuntut peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.

Katanya, seramai 250 penuntut pengambilan pertama UPNM akan menerima diploma dan ijazah mereka pada konvokesyen tahun depan.

(Sumber: Bernama - 8/6/2009 - 15:36pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment