| 0 comments ]

Kementerian Pelajaran mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian berhubung kekurangan guru di kalangan golongan lelaki dan antara pandangan yang dikemukakan termasuk mendapatkan insentif khas untuk menarik lebih ramai lelaki menceburi bidang perguruan.

"Saya tidak kata akan kurangkan tahap kelayakan (menjadi guru), tapi kementerian akan cari jalan lain untuk kurangkan jurang itu walaupun ia mengambil masa yang lama," kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kekurangan guru di kalangan golongan lelaki bukanlah kerana diskriminasi jantina, sebaliknya merupakan situasi realiti pada masa kini.

Katanya dilema bilangan guru lelaki yang jauh ketinggalan berbanding wanita iaitu dengan nisbah 20:80 pada masa kini, menjadi tumpuan utama kementerian untuk menyelesaikan masalah itu.

"Saya tidak menyalahkan gender... apa yang boleh kementerian lakukan sekarang ialah mengurangkan jurang bilangan guru lelaki dan wanita," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Taman Geo Rimba Kilim di Ayer Hangat, di Langkawi, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Datuk Dr Aminah Ayob semalam, yang melahirkan kebimbangan mengenai kekurangan bakal guru di kalangan bukan Melayu dan lelaki di universiti itu.

Muhyiddin berkata masalah itu juga mungkin timbul akibat kurangnya keinginan golongan lelaki memilih profesion perguruan atau tiada kelayakan dan terpaksa memilih kerjaya lain.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau gembira dengan maklum balas orang ramai mengenai cadangan kerajaan bagi menjadikan mata pelajaran Bahasa Inggeris sebagai syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Semua orang setuju bahasa Inggeris itu penting.... tiada siapa pun yang mengatakan bahasa Inggeris tidak perlu dan respons yang diterima sangat memberangsangkan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian tidak akan membuat keputusan terburu-buru mengenai pelaksanaannya dan masih mempelawa orang ramai memberi pandangan berhubung syarat mewajibkan calon lulus itu.

(Sumber: Bernama - 11/06/2009 - 20:19pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment