| 0 comments ]

Kerajaan akan melengkapkan prasarana sukan di setiap universiti awam di negara ini, dengan membina gelanggang tertutup bagi membolehkan kakitangan dan pelajar institusi berkenaan bersukan dalam keadaan selesa.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata kerajaan akan memastikan setiap universiti berkenaan mempunyai kemudahan tersebut dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

"Sebenarnya daripada segi prasarana di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sudah agak baik, tetapi yang perlu kita lihat untuk memastikan setiap universiti ada gelanggang tertutup bagi menambah nilai kepada kehidupan masyarakat di universiti.

"Gelanggang tertutup itu penting bagi membolehkan pelajar dan kakitangan bersukan tanpa mengira waktu," katanya selepas merasmikan Kejohanan Sukan Staf IPTA ke-34, di Universiti Malaysia Terengganu di sini, malam tadi.

Pada masa ini, beliau berkata tidak semua universiti mempunyai kemudahan sukan yang mencukupi bagi menampung keperluan dan aktiviti kakitangan serta pelajar masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata pengambilan pelajar untuk memasuki universiti di kalangan atlet akan ditingkatkan sebanyak 30 peratus pada masa akan datang.

"Pada masa ini, terdapat 300 atlet menuntut di beberapa universiti dan jumlah itu akan ditambah supaya universiti-universiti ini dapat melahirkan jaguh sukan kebangsaan pada masa depan," kata beliau.

Seramai 5,000 peserta daripada 20 IPTA di seluruh negara, menyertai Kejohanan Sukan Staf IPTA itu, yang berlangsung selama 10 hari mulai Rabu lepas lepas.

(Sumber: Bernama - 6/6/2009 - 14:21pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment