| 0 comments ]

Tentera Darat Malaysia (TDM) akan memberi keutamaan kepada lepasan sekolah yang pernah menganggotai pasukan kadet untuk menyertai pasukan keselamatan itu apabila ada pengambilan baru.

Panglima Medan TDM Leftenan Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata langkah mengenalpasti bekas anggota kadet sekolah adalah bagi memudahkan pemilihan anggota tentera di masa akan datang.

"Mereka yang pernah menyertai pasukan kadet di sekolah dan memohon untuk menjadi anggota tentera mempunyai kelebihan untuk dipilih kerana telah melalui latihan asas ketenteraan.

"Kita akan menggunakan maklumat itu apabila memilih rekrut baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perkhemahan Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) Darat Peringkat Kebangsaan 2009 di Kem Paradise di Kota Belud, Khamis.

Katanya, TDM mempunyai tiga cara bagi mengenalpasti orang ramai yang pernah menyertai pasukan beruniform itu di peringkat sekolah iaitu melalui sekolah, agensi pekerjaan dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

"Aktiviti yang kita adakan untuk kadet tentera seperti perkhemahan ini merupakan aktiviti bagi meningkatkan ketahanan dan memupuk semangat patriotik di kalangan pelajar sekolah.

"Ini juga bagi melahirkan generasi pewaris yang bakal berkhidmat untuk keselamatan negara," katanya.

Seramai 375 lelaki dan 180 wanita ahli PKBM dari seluruh negara menyertai perkhemahan seminggu sejak Selasa lalu.

Perkhemahan tahunan kali ke-13 itu diadakan buat pertama kali di luar Semenanjung.

(Sumber: Bernama - 11/06/2009 - 15:40pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment