| 0 comments ]

Jumlah pengambilan bakal guru ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) akan ditambah dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan guru yang semakin mendesak, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata keperluan guru kini semakin mendesak, terutamanya di kawasan bandar yang sedang mengalami kadar pertumbuhan penduduk yang pesat.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata sebanyak 60 IPGM di seluruh negara mampu menyediakan tempat untuk lebih 20,000 orang menjalani kursus perguruan di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda setiap tahun.

"Dengan tenaga pengajar yang berpengalaman serta kemudahan pengajaran dan pembelajaran terkini, IPGM berupaya menyediakan latihan secukupnya kepada bakal guru dan membolehkan mereka memberikan pendidikan bermutu kepada anak-anak," katanya semasa melancarkan buku "Sejarah Perguruan Malaysia" di IPGM, Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai di sini, Selasa.

Buku yang setebal 364 muka surat itu dihasilkan oleh Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran bagi merakamkan sejarah perguruan di negara ini bermula abad ke-19.

Menyentuh mengenai buku itu, Muhyiddin berharap mudah-mudahan dengan tercatatnya sejarah perjuangan guru-guru dalam buku "Sejarah Perguruan Malaysia", guru-guru kita akan beroleh suntikan semangat untuk terus menabur jasa dan bakti kepada anak bangsa.

Beliau juga berkata sejarah perguruan di negara ini membuktikan peranan penting institusi latihan perguruan sebagai nadi dan penggerak kepada pembangunan dan kecemerlangan pendidikan negara.

"Kita tentu sekali tidak lupa peranan yang dimainkan oleh Sultan Idris Training College, yang kemudiannya dikenali sebagai Maktab Perguruan Sultan Idris (kini universiti pendidikan), dalam mengangkat martabat pendidikan, terutamanya pendidikan aliran Melayu di negara ini," katanya.

Katanya kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM509.2 juta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan untuk menaiktaraf infrastruktur dan kemudahan di IPGM dan antaranya penyediaan bilik kuliah lebih kondusif, kelengkapan jaringan internet dan perpustakaan dengan bahan rujukan mencukupi.

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata bahawa selaras dengan hasrat kerajaan menyediakan pendidikan bermutu kepada semua, kementerian komited untuk memastikan pencapaian akademik pelajar di kawasan luar bandar dipertingkatkan.

Muhyiddin berkata kementerian itu telah mengenalpasti kelemahan ketara pelajar luar bandar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Dan keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia akan menyebabkan jurang pencapaian antara murid bandar dan luar bandar bertambah lebar.

Beliau berkata memandangkan guru merupakan contoh kepada anak-anak, maka mereka perlu meningkatkan pengetahuan mereka dan pada masa yang sama menjaga sahsiah peribadi agar menjadi ikutan anak-anak.

"Mereka perlu didik supaya mempunyai sikap positif terhadap persefahaman antara kaum dan kesepaduan dalam kemajmukan di negara kita selaras dengan hasrat mewujudkan 1Malaysia," katanya.

(Sumber: Bernama - 2/6/2009 - 18:44pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment