| 0 comments ]

Kerajaan bercadang mewajibkan pelajar di seluruh negara menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memulakan sesi pembelajaran setiap hari berikutan peningkatan kes Influenza A (H1N1) dengan dua lagi sekolah ditutup semalam dan 10 kes baru dikesan, menjadikan jumlah meningkat kepada 68 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka, Cheras diarah ditutup sehingga Sabtu ini, manakala Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 1, Petaling Jaya selama seminggu.

Sebelum ini, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, Kuala Lumpur dan SRK Assunta 2, Petaling Jaya diarah ditutup selama seminggu.

Tiga lagi sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Utama, Petaling Jaya, SMK Seksyen 9 Shah Alam dan Sekolah Menengah Wangsa Maju Seksyen 2, Kuala Lumpur kekal dengan penutupan satu kelas bagi tempoh tujuh hari.

Dr Ismail berkata, cadangan mewajibkan pelajar menjalani pemeriksaan suhu badan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menangani Penularan H1N1 bersama Kementerian Pelajaran, hari ini.

"Kita akan mengenal pasti kaedah paling sesuai dan mudah untuk guru memeriksa suhu badan pelajar. Sekiranya semua pihak bersetuju, kita akan membekalkan termometer kepada guru bagi mengesan pelajar yang menunjukkan tanda demam," katanya pada sidang media di Putrajaya, semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah memaklumkan kepada Kementerian Pelajaran supaya mengarahkan semua warga sekolah yang baru pulang dari Australia, Filipina, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) supaya tidak ke sekolah dalam tempoh tujuh hari.

"Langkah itu perlu kerana kebanyakan kes import H1N1 dibawa masuk dari empat negara berkenaan. Kita juga mengarahkan semua yang terbabit mengkuarantin diri sendiri, iaitu dengan berkurung di rumah masing-masing sepanjang tempoh itu," katanya.

Dr Ismail berkata, daripada 10 kes terbaru, dua adalah penularan tempatan masing-masing pelajar Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka dan SJKC Jalan Davidson, manakala lapan kes import membabitkan lima rakyat Malaysia serta masing-masing seorang warga Yaman, Switzerland dan Itali.

"Kes ke-62 adalah seorang pelajar lelaki warga tempatan berusia 16 tahun dan dia adalah kontak kepada kes ke-42, iaitu pelajar Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka yang disahkan positif H1N1," katanya.

Mangsa ke-62 itu yang juga kes jangkitan tempatan kelapan, mengalami demam, batuk dan sakit tekak pada Sabtu lalu dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh keesokannya serta disahkan positif semalam.

Dr Ismail berkata, seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun dari SJKC Jalan Davidson pula adalah kontak dengan seorang rakannya yang disahkan positif H1N1, dua hari lalu.

Mangsa ke-66 itu mengadu mengalami demam, batuk dan sakit tekak sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan disahkan positif, kelmarin.

Kes import pula ialah:

  1. Budak perempuan berusia 5 tahun 9 bulan yang baru pulang dari California, AS dengan pesawat Cathay Pacific (CX 873) dan transit di Hong Kong sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat lalu;
  2. Pelajar perempuan warga tempatan berusia 14 tahun yang tiba dari Melbourne, Australia, Khamis lalu dengan menaiki pesawat MH148;
  3. Lelaki berusia 23 tahun yang pulang dari Melbourne, Jumaat lalu dengan pesawat MH128 sebelum meneruskan perjalanan ke Kuching melalui penerbangan MH2504;
  4. Budak perempuan berusia 5 tahun 8 bulan yang menetap di Manila dan kembali ke Malaysia bersama ibunya pada 20 Jun lalu dengan penerbangan MH705 sebelum menyambung perjalanan ke Pulau Pinang menerusi pesawat MH1166;
  5. Lelaki berumur 42 tahun yang pulang dari Manila dengan pesawat Cebu Pacific Airways 5J 501 pada 18 Jun;
  6. Lelaki warga Yaman berumur 24 tahun yang bertolak dari Bangkok ke Malaysia pada 19 Jun menaiki penerbangan AirAsia AK 342;
  7. Lelaki warga Switzerland berumur 54 tahun yang ke Malaysia bersama isteri menaiki penerbangan Singapore Airlines SQ 118; dan
  8. Pelajar lelaki warga Itali berusia 19 tahun yang menaiki pesawat MH148 dari Melbourne dan tiba di KLIA pada 21 Jun.

Mohd Ismail berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sehingga jam 8 pagi semalam jumlah terkumpul kes H1N1 yang dilaporkan adalah sebanyak 52,687 kes dengan 231 kematian dari 99 negara, iaitu pertambahan 7,709 kes.

Negara yang melaporkan pertambahan kes tertinggi adalah AS (3,594), Chile (1,190), Kanada (805), United Kingdom (754) dan Australia (297).

(Sumber: Berita Harian - 24/06/2009)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment