| 0 comments ]

Kementerian Pelajaran akan memberi keutamaan kepadan calon dari kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) pada pengambilan bulan ini.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru kementerian itu, Datuk Misrah Ibrahim berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk menyediakan tenaga guru yang mencukupi di kawasan pedalaman kedua-dua negeri berkenaan.

Daripada 2,000 calon yang akan dipilih untuk mengikuti kursus KPLI di institut pendidikan guru di seluruh negara, 1,200 adalah dari Sabah dan Sarawak manakala selebihnya dari Semenanjung Malaysia, katanya.

"Ini adalah kali pertama kita mengambil calon paling ramai dari Sabah dan Sarawak untuk memberi peluang kepada mereka berkhidmat di kawasan pedalaman seperti Pensiangan, Nabawan, Kudat dan Ulu Sugut.

"Guru yang berkhidmat di pedalaman mencukupi kerana kita ada guru sandaran tetapi guru terlatih masih tidak mencukupi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Zon Sabah di sini Selasa.

Misrah berharap langkah kementerian memberikan keutamaan kepada calon dari pedalaman mengikuti KPLI dapat membantu meningkatkan mutu pendidikan di kawasan pendalaman terutama di Sabah dan Sarawak.

"Saya yakin usaha ini akan membantu merealisasikan teras Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu merapatkan jurang pendidikan di antara bandar dan luar bandar," katanya.

Ketika diminta mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Ahad lepas yang membantah cadangan Kementerian Pelajaran memanjangkan tempoh pengajian KPLI daripada setahun kepada 18 bulan, beliau berkata ia hanya merupakan cadangan dan bukan keputusan muktamad.

Beliau berkata pada masa ini, terdapat kira-kira 8,000 guru dari Semenanjung yang berkhidmat di pelusuk negeri Sabah untuk mengajar mata pelajaran tertentu termasuk pendidikan Islam.

"Ada subjek-subjek tertentu seperti pendidikan Islam, Jawi, Quran, Arab dan Fardu Ain yang orang Sabah tidak ada calon, jadi kita perlukan guru dari negeri-negeri lain di Semenanjung untuk mengajar mata pelajaran itu," tegasnya.

Sementara itu, Misrah berkata seramai 97,000 calon dari seluruh negara memohon untuk mengikuti kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia peringkat ijazah tetapi hanya 6,200 calon yang akan diambil.

"Saya juga akan pastikan lebih ramai calon dari Sabah dan Sarawak khususnya lelaki kerana bilangan lelaki yang mengikuti kursus perguruan amat sedikit berbanding wanita," tambahnya.

(Sumber: Bernama - 16/06/2009 - 16:51pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment