| 1 comments ]

Kementerian Pelajaran hari ini memutuskan untuk memberi pengecualian kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) aliran Sains Agama untuk mengambil 11 mata pelajaran maksimum bagi peperiksaan itu tahun depan.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun, 10 mata pelajaran maksimum SPM bagi tahun 2010 yang ditetapkan sebelum ini masih kekal untuk calon lain.

"Kementerian bersetuju dengan rayuan daripada pihak pentadbir Sekolah Menengah Agama supaya pelajar diizinkan mengambil 11 mata pelajaran, ia merupakan pengecualian terhadap pelajar yang perlu mengambil aliran Sains dan Agama sekaligus," kata Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, dalam sidang media sebelum mengadakan perbincangan dua hala dengan delegasi Persidangan Menteri Pelajaran Komanwel di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Kuala Lumpur.

Muhyiddin berkata pengecualian itu hanya untuk peperiksaan pada tahun 2010 dan akan kembali kepada 10 mata pelajaran maksimum bagi calon aliran Sains Agama pada tahun 2011.

"Ini kerana mereka tidak boleh tukar (mata pelajaran) dengan segera, tetapi mulai 2011 semua calon akan ambil 10 mata pelajaran sahaja, maknanya kita beri tempoh kepada sekolah agama untuk membuat pengubahsuaian dan calon memilih mata pelajaran yang benar-benar dikuasai mereka," katanya.

Beliau berkata selain empat mata pelajaran teras yang diambil oleh calon aliran berkenaan, tujuh mata pelajaran elektif yang diambil ialah Al-Quran, Sunnah, Bahasa Arab Tinggi, Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan.

Muhyiddin berkata keputusan itu diharapkan dapat menyumbangkan kepada pembinaan modal insan yang bukan sahaja mempunyai kekuatan "pendidikan pengetahuan" tetapi juga "pendidikan insaniah".

Beliau berkata di samping itu, ia akan menolak sesetengah persepsi yang mengatakan Malaysia mengamalkan sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan.

"Jika ambil sejumlah (mata pelajaran) yang banyak itu, sudah pastinya ia menjurus kepada keputusan yang baik dan ia menjadi terlalu berorientasikan peperiksaan, maka kita akan bangunkan potensi murid dalam jurusan yang dipilih secara lebih intensif dan komprehensif," katanya.

Beliau berkata dengan itu guru dan pelajar juga akan mempunyai lebih masa untuk menjalankan aktiviti kokurikulum yang pastinya mampu membangunkan potensi akal, jasmani dan emosi pelajar secara seimbang dan selari dengan falsafah pendidikan negara.

Kementerian baru-baru ini mengehadkan sejumlah 10 mata pelajaran yang boleh diambil oleh pelajar dalam peperiksaan SPM bagi memastikan keadilan dalam pemberian biasiswa kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.

Bagaimanapun, 21 kesatuan dan persatuan guru seluruh negara baru-baru ini membantah dan mahukan had mata pelajaran yang boleh diambil calon SPM ditingkatkan kepada 12 subjek.

Sementara itu, mengenai cadangan kementerian untuk mewajibkan calon lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris sebagai syarat lulus peperiksaan SPM, Muhyiddin berkata hampir 80 peratus daripada keseluruhan maklum balas bersetuju dengan cadangan itu.

"Kita belum ada keputusan, masih mengumpul maklum balas, walaupun hampir 80 peratus setuju dengan pandangan yang saya suarakan, saya minta supaya ada respons dan kita akan buat kajian terperinci," katanya.

Beliau berkata kebanyakan responden yang bersetuju dengan cadangan itu turut menetapkan beberapa syarat antaranya kementerian perlu memastikan tenaga pengajar mencukupi, guru Bahasa Inggeris cukup terlatih dan perlu mengambil kira pelajar di luar bandar.

"Menerusi website kementerian juga kita terima lebih 3,000 pandangan dan mengatakan bahawa idea ini bagus," katanya sambil menolak bahawa kerajaan mengenepikan kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menerusi cadangan itu.

Beliau berkata keputusan mengenai cadangan itu mungkin akan dibuat dalam tahun ini juga.

(Sumber: Bernama - 17/06/2009 - 16:33pm)

Related Posts by Categories



1 comments

azim fauzi said... @ 10:28 PM

Pakej Bagaimana Sesuai untuk Aliran Agama?

Berikut adalah pakej yang patut dikaji Bahagian Pendidikan Islam KPM untuk diaplikasikan sebagai pakej sesuai untuk Aliran Sains Agama SMKA dan SBP.

Kesemua Pakej dalam Set 10 matapelajaran mengikut penerapan terkini Kementerian Pelajaran Malaysia.

PAKEJ A- (Aliran Sains Bersepadu berasaskan Islam)
Bidang Sains dan Matematik
1. Sains
2. Matematik
3. Matematik Tambahan
4. Sains Tambahan
Bidang Bahasa
5. Bahasa Melayu
6. Bahasa Arab Tinggi
7. Bahasa Inggeris
Bidang Kemanusiaan
8. Sejarah
9. Pendidikan Syariah Islamiah
10. Al-Quran dan As-Sunnah

Peluang Melanjutkan pelajaran kesemua bidang di IPTA dan IPTS dalam Aliran Sains mahupun Sastera.

PAKEJ B - (Aliran Sains Fizikal berasakan Islam)

Bidang Bahasa
1. Bahasa Melayu
2. Bahasa Arab Tinggi
3. Bahasa Inggeris
Bidang Kemanusiaan
4. Sejarah
5. Pendidikan Syariah Islamiah
6. Al-Quran dan As-Sunnah
Bidang Sains dan Matematik
7. Matematik
8. Matematik Tambahan
9. Kimia
10. Fizik

PAKEJ C - (Aliran Sains Hayat berteraskan Islam)

Bidang Bahasa
1. Bahasa Melayu
2. Bahasa Arab Tinggi
3. Bahasa Inggeris
Bidang Kemanusiaan
4. Sejarah
5. Pendidikan Syariah Islamiah
6. Al-Quran dan As-Sunnah
Bidang Sains dan Matematik
7. Matematik
8. Matematik Tambahan
9. Kimia
10. Biologi
PAKEJ D – (Aliran Pengurusan Berteraskan Islam)

Bidang Bahasa
1. Bahasa Melayu
2. Bahasa Arab Tinggi
3. Bahasa Inggeris
Bidang Sains dan Matematik
1. Matematik
2. Sains
3. Matematik Tambahan
Bidang Kemanusiaan
4. Sejarah
5. Pendidikan Syariah Islamiah
6. Al-Quran dan As-Sunnah
7. Ekonomi Asas
8. Prinsip Perakaunan

Post a Comment