| 0 comments ]

MIC akan menghulurkan bantuan kepada kira-kira 240 pelajar India yang gagal mendapat biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi melanjutkan pelajaran, kata Presidennya Datuk Seri S.Samy Vellu hari ini.

Beliau berkata Asian Institute of Medicine, Science and Technology (AIMST) milik MIC di Semeling, Kedah, akan menawarkan 200 tempat kepada pelajar berkenaan bagi mengikuti kursus asas di pusat pengajian tinggi itu.

Samy Vellu berkata beliau menjangka kebanyakan daripada 240 pelajar yang telah mengemukakan rayuan kepada JPA, akan mendapat biasiswa, manakala selebihnya boleh meneruskan pengajian di AIMST.

"AIMST akan menerima mereka. Mereka tidak perlu bimbang," katanya, merujuk sungutan yang disuarakan ramai ibu bapa pelajar terbabit, yang kecewa kerana anak mereka tidak mendapat biasiswa JPA, walaupun mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Samy Vellu berkata beberapa ibu bapa menghubungi cawangan pendidikan parti itu, Maju Institute for Education Development (MIED), bagi mendapatkan penjelasan tentang status anak mereka, setelah dimaklumkan bahawa rayuan anak mereka ditolak JPA.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Anugerah Merit Presiden kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Kuala Lumpur. Acara tahunan itu dianjurkan MIED.

Samy Vellu berkata MIC telah mengemukakan rayuan oleh 240 pelajar India kepada JPA dan sedang mengumpul maklumat tentang kedudukan mereka.

"Kami dimaklumkan bahawa kebanyakan mereka berjaya dalam rayuan itu, manakala rayuan oleh jumlah yang sama juga, ditolak," katanya.

Bagaimanapun, kata beliau daripada 323 pelajar India yang mendapat biasiswa JPA tahun ini, 171 akan mengikuti program peringkat ijazah di luar negara, manakala selebihnya akan melanjutkan pengajian di lima institusi swasta tempatan, yang diluluskan JPA, termasuk AIMST.

"MIC akan cuba memastikan lebih banyak pelajar mendapat biasiswa JPA," katanya.

(Sumber: Bernama - 6/6/2009 - 13:54pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment