| 0 comments ]

Kementerian Pelajaran akan menaik taraf fungsi makmal komputer sekolah di seluruh negara bagi membolehkan ia diguna sebagai makmal bahasa, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ia adalah satu langkah untuk meningkatkan pembelajaran dan pengajaran dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

"Penggunaan teknologi akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, perisian dan peralatan yang sesuai akan dibekalkan dalam melaksanakan rancangan ini," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) mengenai langkah yang diambil untuk memperbaiki pelajaran termasuk pengajaran Bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains di semua peringkat dan jenis sekolah.

Muhyiddin berkata, kementerian juga sedang mengkaji untuk memperkenalkan mata pelajaran Kesusasteraan Inggeris di kalangan murid serta menekankan tatabahasa Bahasa Inggeris bagi meningkatkan mutu penulisan dan pengucapan mata pelajaran itu di kalangan murid.

Muhyiddin berkata, masa pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Inggeris juga akan ditambah untuk membolehkan kandungan pengajaran ditambah.

"Justeru, tahap kompetensi guru Bahasa Inggeris akan ditingkatkan. Lebih ramai guru Bahasa Inggeris yang berkelayakan akan diambil untuk mengajar terutama di sekolah luar bandar," katanya.

Mengenai pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI), Muhyiddin berkata keputusan mengenai perkara itu yang dijangka diumum awal Julai ini akan memberi kebaikan kepada guru dan murid.

"Kita jamin keputusan akan diambil oleh kerajaan dalam masa terdekat (dan) akan beri kebaikan kepada guru dan murid, analisis dan kertas hala tuju sudah siap dan akan dibentang kepada Jemaah Menteri. Apa saja keputusan dibuat biarlah dengan kepentingan rakyat.

"Kita akan umumkan dengan jelas terperinci, bukan apa yang telah dilaksana tetapi apa yang akan dilaksanakan, adakah pendekatan yang kita gunakan ini yang terbaik atau tidak," katanya.

(Sumber: Bernama - 23/6/2009 - 13:18pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment