| 0 comments ]

Kementerian Pelajaran akan membekalkan tenaga pengajar dan guru terlatih kepada sekolah persendirian Cina di seluruh negara dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di sekolah berkenaan.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata penyediaan guru terlatih itu menjadi komitmen kementerian yang juga mengiktiraf peranan sekolah persendirian Cina dalam pembangunan modal insan negara.

"Sistem pembelajaran dalam bahasa Melayu membantu memartabatkan bahasa kebangsaan itu, jadi komitmen kementerian adalah untuk melatih guru yang lebih berkualiti dalam menguasai bahasa kebangsaan dan pada waktu sama mengiktiraf pembangunan yang telah lama dilahirkan oleh sekolah persendiran Cina," katanya.

Wee berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Seminar Bahasa Kebangsaan dan Masyarakat Cina oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Muhyiddin dalam ucapannya berkata Kementerian Pelajaran dan DBP bersetuju menganjurkan siri latihan pengukuhan bahasa Melayu untuk guru yang mengajar mata pelajaran tersebut di semua sekolah persendirian Cina.

Seminar sehari anjuran DBP dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) daripada kalangan masyarakat Cina, termasuk Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF) bermatlamat merumus kaedah terbaik untuk memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan masyarakat Cina.

Ia juga bertujuan menanam kesedaran bahawa usaha memperkasakan bahasa serta sastera kebangsaan menjadi tanggungjawab semua pihak.

(Sumber: Bernama - 8/6/2009 - 20:38pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment