| 0 comments ]

Felda akan menanam semula kawasan perladangan kelapa sawit seluas 90,000 hektar di seluruh negara mulai tahun ini, kata Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Beliau memberitahu Bernama bahawa program tanaman semula itu adalah usaha yang terbesar sekali yang dibuat oleh Felda untuk kegiatan itu.

Inisiatif itu akan mengambil masa tiga tahun untuk diselesaikan, kata Dr Yusof yang berada di negara ini sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Dr Yusof berkata tindakan penanaman semula mungkin menjejaskan hasil pengeluaran minyak kelapa sawit tetapi usaha itu kemudiannya dapat menjamin masa depan peneroka Felda kerana potensi hasil yang lebih baik dengan klon-klon baru yang berkualiti.

Klon yang berkualiti sekarang boleh mendatangkan hasil dalam tempoh tiga tahun, kata beliau.

Ladang-ladang yang mempunyai pokok kelapa sawit yang lebih daripada usia 25 tahun sedang dikenalpasti untuk usaha tanaman semula kerana apabila ia menjangkau tempoh itu, hasil keluaran akan berkurangan.

Dr Yusof juga berkata bahawa Felda telah memperkenal skim upahan lebih menarik sejak dua tahun untuk menggalakkan orang kampung dan pekerja ladang mengutip buah jatuh kelapa sawit supaya mengoptimum sumber hasil ladang Felda.

"Mungkin ada orang terlupa bahawa buah jatuh mempunyai banyak lagi minyak, kata beliau.

Ditanya tentang usaha untuk menjadikan Felda lebih dinamik dalam 50 tahun yang akan datang, Yusof berkata peruntukan dana yang lebih akan dibuat dalam aktiviti hiliran dan ini termasuk mengadakan usahasama dengan syarikat yang mempunyai kekuatan atau kepakaran dalam bidang yang mereka terokai.

Kini Felda mempunyai kepentingan dalam beberapa syarikat di Amerika Syarikat, Kanada dan China.

Baru-baru ini, Perdana Menteri telah meminta Felda melakukan transformasi untuk melipatgandakan manfaat kepada peneroka Felda.

Dalam usaha ini, Dr Yusof berkata Felda akan memandang hasil dari pokok kelapa sawit secara lebih menyeluruh dan bukan semata-mata dari sudut minyaknya sahaja.

Ini kerana banyak lagi produk boleh diperbuat dari bahan-bahan lain seperti pelepahnya.

Dengan inisiatif ini, peneroka Felda tidak semestinya hanya bergantung kepada minyak kelapa sawit sahaja, katanya.

Apabila ditanya adakah Felda berhasat untuk membeli ladang di luar negara, Dr Yusof berkata rundingan sedang dibuat dalam usaha mempelbagaikan sumber pendapatan.

Beliau berkata bahawa dalam apa-apa usaha untuk membeli syarikat tertentu dalam rancangan strategiknya, "pertimbangan secara professional" mesti dilakukan dahulu oleh pihak ketiga atau syarikat akauntan terkemuka bagi memastikan syarikat yang dibeli boleh mendatangkan hasil yang baik.

Dr Yusof menegaskan bahawa walaupun Felda akan menggembangkan sayapnya untuk meneroka di luar negara, tumpuan masih diberikan kepada operasi tempatan yang akan kekal menjadi pangkalan bagi Felda kerana agensi itu memiliki kira-kira dua juta hektar ladang kelapa sawit.

(Sumber: Bernama - 6/6/2009 - 14:24pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment