| 0 comments ]

Kementerian Pengajian Tinggi telah mengarahkan Jabatan Pengajian Politeknik menjalankan kajian bagi tujuan menaik taraf kedudukan politeknik bagi membolehkan institusi itu menawarkan kursus peringkat ijazah.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata usaha menaik taraf institusi itu dibuat berikutan institusi itu menjadi pilihan pelajar lelaki yang meminati jurusan kemahiran.

Kerajaan akan terus berusaha untuk menyediakan peluang untuk belajar di politeknik termasuk menaik taraf institusi itu bagi membolehkannya menawarkan kursus peringkat ijazah, katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah kecemerlangan PMR, SPM dan STPM 2008 bagi kawasan Parlimen Pasir Gudang di Sekolah Menengah Kebangsaan Permas Jaya di Johor Bharu hari ini.

"Pada masa ini politeknik hanya menawarkan jurusan peringkat diploma sahaja dan apabila dilaksanakan kelak, tiga ke empat politeknik akan dipilih untuk menawarkan jurusan-jurusan peringkat ijazah," kata Mohamed Khaled yang juga anggota Parlimen Pasir Gudang.

Beliau berkata politeknik menerima 120,000 permohonan sedangkan jumlah tempat yang ditawarkan kepada pelajar hanya 20,000.

Katanya lulusan politeknik juga menjadi pilihan pihak industri kerana mereka memiliki kemahiran yang diperlukan.

(Sumber: Bernama - 20/06/2009 - 18:13pm))

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment