| 0 comments ]

Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara menawarkan 260,700 tempat untuk tahun 2009 termasuk 83,700 tempat di universiti awam yang mencatat peningkatan hampir 18 peratus berbanding 70,941 ambilan tahun lalu. 

Daripada jumlah itu, kerajaan menawarkan 40,500 tempat ke IPT awam (IPTA) bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi dan setaraf, manakala 43,200 tempat lagi untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf. 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata bilangan itu juga meliputi 122,000 tempat di IPT swasta (IPTS), politeknik (42,000) dan kolej komuniti kelolaan kementerian berkenaan (13,000).

Bagi pengambilan berdasarkan meritokrasi ke IPTA, katanya, tiada perubahan syarat yang menetapkan 90 peratus bagi aspek kecemerlangan akademik dan 10 peratus lagi kokurikulum. 

Katanya, secara keseluruhan, memang ada peningkatan kapasiti dari segi tawaran kemasukan tahun ini termasuk dalam bidang kritikal seperti perubatan. Selain IPTA sedia ada, Fakulti Perubatan dimulakan di Universiti Darul Iman Malaysia, Terengganu dan mengambil 30 pelajar tahun ini. 

Bagaimanapun, ambilan pelajar dalam jurusan perubatan tidak boleh terlalu tinggi kerana ada syarat tambahan seperti nisbah antara pensyarah dan pelajar mesti 1:4, di samping memerlukan adanya hospital perubatan di universiti berkenaan. Ini adalah sebahagian MoU dengan badan profesional perubatan di negara ini. Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan demikian selepas melancarkan Karnival Pengajian Tinggi Negara 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam. 

Tahun lalu, 442,936 calon menduduki peperiksaan SPM dan 53,633 lagi menduduki STPM.

Ketika ini, Mohamed Khaled berkata, ada 20 universiti awam (IPTA), 41 universiti dan kolej universiti swasta (IPTS), 21 politeknik, 37 kolej komuniti dan 485 kolej swasta di seluruh negara.

Sambil menegaskan sektor pengajian tinggi negara sangat berpotensi besar, katanya, jumlah tawaran tempat kemasukan mencecah 260,000 setiap tahun menunjukkan komitmen dan kesungguhan kementerian menjayakan teras peluasan akses dan ekuiti pendidikan negara sehingga meliputi 40 peratus daripada kohot umur 17 hingga 23 tahun menjelang 2010 seperti disasarkan. Sehingga tahun lalu, 36 peratus daripada kohot umur itu sudah mendapat akses pendidikan tinggi dan kementerian optimis serta yakin untuk melonjakkan pencapaian itu. 

“Bagi menjayakan teras meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti pengajian tinggi negara, kementerian juga membantu menyediakan tajaan, pembiayaan serta pinjaman untuk memberi peluang kepada yang layak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. 

“Melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai contoh, biasiswa ditawarkan tahun ini berjumlah 10,000 pelajar cemerlang termasuk 2,000 biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka di luar negara, di samping tawaran 8,000 biasiswa untuk belajar di dalam negara,” katanya.

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment