| 0 comments ]

Seramai 4,424 calon yang tersalah diberi tawaran oleh Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan sebahagian daripada 40,366 pemohon yang berjaya dalam pemilihan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik 2009/2010.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Datuk Prof Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi berkata kesemua calon berkenaan berjaya melepasi sesi pemilihan oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU) jabatan berkenaan.

Beliau berkata mereka adalah antara 4,574 calon yang tersalah diberi tawaran oleh USM berikutan kesilapan teknikal pada 29 Mei lepas.

"Baki 150 pemohon yang tidak disenarai akan dipertimbangkan oleh pihak USM menerusi rayuan kerana pada dasarnya mereka telah melepasi pra-penilaian yang dibuat oleh pihak universiti," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Radin Umar berkata 40,366 pemohon telah ditawarkan tempat untuk mengikuti program pengajian lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/Matrikulasi/Setaraf (Ijazah Pertama) bagi sesi akademik 2009/2010 di semua IPTA seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, 27,829 pemohon terdiri daripada kaum bumiputera manakala 10,116 dan 2,421 calon masing-masing terdiri daripada kaum Cina dan India," katanya.

Radin Umar berkata pemohon boleh menyemak status permohonan masing-masing menerusi internet di laman web http://jpt.uum.edu.my, http://www.jpt.utm.my atau http://upu.mohe.gov.my atau menghubungi talian hotline 03 88835858 atau talian helpline 03 88835848.

"Mereka juga boleh melakukan penyemakan melalui SMS untuk semua talian telefon bimbit dengan menaip UPU RESULT (No Kad Pengenalan) dan menghantarnya ke 15888," katanya.

Beliau berkata kesemua surat tawaran rasmi akan dikeluarkan mulai hari ini dan calon diminta membuat pengesahan penerimaan tawaran dalam tempoh tujuh hari atau sebelum 25 Jun.

"Calon yang tidak membuat sebarang pengesahan sebelum atau pada tarikh itu dianggap sebagai telah menolak tawaran dan tidak akan diberi tempat di IPTA," katanya.

(Sumber: Bernama - 19/06/2009 - 17:36pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment